Ugut bunuh kerana dituduh buang sampah - Utusan Malaysia

Ugut bunuh kerana dituduh buang sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tukang masak yang didakwa melakukan ugutan bunuh terhadap pekerja restoran di Taman Cheras dekat sini, kelmarin direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Suspek dikatakan melakukan perbuatan itu selepas berang dituduh membuang sampah dan air dari unit rumah di atas premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki berusia 62 tahun itu ditahan ketika berada di bilik sewanya semalam dan semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah.

“Suspek bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran berdekatan Jalan Kaskas, Cheras. 

“Ini kejadian pertama suspek berkelakuan begitu kerana dikatakan marah dituduh membuang sampah dan air dari atas restoran sedangkan itu didakwa bukan perbuatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, suspek yang tinggal di bilik itu sejak beberapa bulan lalu dengan sewa RM400 sebulan, tidak fasih berbahasa Melayu semasa rakaman percakapan diambil.

Semalam, media melaporkan tular rakaman video menunjukkan lelaki itu berang kerana ditegur membuang air dan sampah dari tingkat atas unit kediaman sehingga terkena sebuah restoran di bawahnya.

Suspek kemudian dikatakan memarahi serta mengugut untuk membunuh pekerja restoran itu.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, suspek didakwa mengugut sambil memegang pisau pemotong sayur. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN