KUCHING: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bersama beberapa pemimpin gabungan itu menziarahi keluarga mendiang bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. James Jemut Masing yang meninggal dunia 31 Oktober lalu.
Rombongan itu menziarahi isteri mendiang, Datuk Corrine Masing di kediaman mendiang di Jalan Laksamana Cheng Ho di sini.
Turut menyertai Mohamad adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) meninggal dunia pada usia 72 tahun di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya.
Masing yang juga Presiden PRS dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lepas kerana disahkan positif Covid-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.
Masing merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh sejak 1983 setelah memulakan kerjaya politik secara aktif dengan menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebelum membuat keputusan untuk menyertai PRS pada 2004. -UTUSAN ONLINE