Tidak berburu-buru buka Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Tidak berburu-buru buka Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

SAARANI Mohamad (dua dari kiri) menerima cenderahati selepas melawat kapal korek warisan negara Tanjung Tualang Nombor 5 atau TT5 di Tanjung Tualang hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang ditutup akibat kejadian tanah runtuh minggu lalu tidak akan dibuka secara terburu-buru kepada orang ramai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan kerja-kerja membaiki di samping terdapat kajian sedang dijalankan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC).

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak boleh mencampuri urusan tersebut memandangkan ia terlalu teknikal dan ia diletakkan di bawah tanggungjawab JKR sepenuhnya.

“Saya yakin ia masih dalam proses pembaikan oleh JKR sebab setelah melakukan pembaikan dan mendapat nasihat teknikal terutama sekali dari Unit Cerun JKR dan berpuas hati, kawasan itu selamat untuk digunakan baru dia akan umum.

“Tidak boleh buat terburu-buru takut nanti runtuh balik dan kos yang berganda akan digunakan, jadi mungkin kena buat kajian termasuk untuk melihat sama ada potensi berlaku pergerakan tanah di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kapal korek warisan negara iaitu Tanjung Tualang Nombor 5 atau TT5 dan taman pagar sesat TT5 di sini, hari ini.

Menurut Saarani, kerajaan negeri belum terdesak untuk membuka laluan tersebut kepada orang ramai memandangkan mereka masih boleh menggunakan laluan Tapah-Ringlet.

“Kita tidak terdesak sangat sebab masih ada laluan di Tapah, tapi tentulah kita gembira kalau kawasan itu selamat dan mudah dilalui.

“Laluan berkenaan bukan hanya memberi sumbangan kepada negeri Perak malah juga kegunaan masyarakat Orang Asli sekitarnya,” katanya.

Dalam kejadian minggu lalu, dua lelaki maut setelah kenderaan masing-masing ditimbus runtuhan tanah di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, satu lorong akan dibuka terlebih dahulu kepada pengguna jalan raya selepas laluan itu didapati selamat untuk digunakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN