Tiada perarakan, perhimpunan hari penamaan calon PRN Sarawak Isnin ini - Utusan Malaysia

Tiada perarakan, perhimpunan hari penamaan calon PRN Sarawak Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon yang bertanding ketika hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak dibenarkan pada Isnin ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pada masa sama, hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon.

“Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke  pusat berkenaan.

“SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa  apa-apa insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula dari pukul 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 82 Pusat Penamaan Calon oleh calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka.

Beliau berkata, untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum Hari  Penamaan Calon.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga disarankan membuat pembayaran deposit lebih awal. Perlu  diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti bayaran bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan  Kertas Penamaan Calon,” katanya.

 Pada masa sama, SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang  dikeluarkan oleh SPR.

Katanya, ini termasuk pihak berkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Sarawak Disaster Management Committee (SDMC) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Hari Penamaan Calon.

PRN Sarawak ke-12 akan diadakan pada 18 Disember dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember, manakala hari mengundi awal pula pada 14 Disember.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.