Tiada keperluan kurangkan eksport barangan ke Singapura - Utusan Malaysia

Tiada keperluan kurangkan eksport barangan ke Singapura

CHONG Fat Full (tengah) melawat Projek Aquagro KRT Taman Kota Masai, di Pasir Gudang, Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Tiada keperluan untuk kerajaan menghenti atau mengurangkan eksport barangan keperluan harian ke Singapura ekoran peningkatan harga yang dilaporkan berlaku di negeri dan negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, hal itu kerana kenaikan harga yang berlaku bukan disebabkan kekurangan bekalan asas sebaliknya harga kos yang meningkat.

Menurut beliau, eksport ke Singapura juga perlu terus dibuat bagi mematuhi kontrak yang telah dipersetujui.

“Kita perlu faham kenaikan harga yang berlaku ketika ini bukan disebabkan kurangnya bekalan di pasaran, tetapi sebaliknya kerana kenaikan harga kos seperti baja dan racun. Buktinya kita boleh lihat kesemua barangan itu ada dijual di pasaran tempatan dan mudah diperoleh cuma harganya dijual mahal daripada biasa.

“Oleh itu tiada keperluan mengurangkan eksport ke Singapura, namun jika benar berlaku kekurangan barangan keperluan, pastilah kita perlu utamakan keperluan masyarakat tempatan dahulu,” katanya selepas melawat Projek Aquagro di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kota Masai, di sini hari ini.

Tambah Fat Full lagi, kerajaan juga tidak sewajarnya terlalu mencampuri urusan penjualan barangan sehingga menyebabkan golongan peniaga tidak mendapat sebarang keuntungan.

“Buat masa ini kerajaan tidak masuk campur kerana golongan peniaga perlu diberi ruang untuk mendapat keuntungan, jika tiada keuntungan tidak ada mana-mana pihak yang akan berniaga.

“Jadi kerajaan hanya akan masuk campur apabila perlu sahaja bagi memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat,” ujarnya.

Sejak kebelakangan ini, masyarakat seluruh negara mengadu harga barangan keperluan asas seperti ayam dan sayur-sayuran dijual mahal sehingga membebankan masyarakat dalam membuat perbekalan mereka.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN