Terserah kepada PM tentukan masa PRU-15 - Utusan Malaysia

Terserah kepada PM tentukan masa PRU-15

ISMAIL Sabri Yaakob ketika Perhimpunan Agung MIC di Kuala LUmpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MIC bersama dua komponen lain Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyerahkan tanggungjawab untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, pihaknya telah menyampaikan hasrat tersebut kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada pagi tadi.

“Kami ketiga-tiga parti komponen BN telah membuat keputusan untuk menyerahkan tanggungjawab mengadakan PRU kepada kebijaksanaan Yang Amat Berhormat dan hasrat ini telah diberitahu kepada Pengerusi BN,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini.

Yang hadir sama, Ismail Sabri dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Terdahulu, Vigneswaran memaklumkan, MIC mencadangkan kepada kerajaan berhubung penggubalan satu Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengawal segala bentuk provoksi perkauman dan memelihara keharmonian hubungan antara pelbagai masyarakat negara ini.

Beliau berkata, perkara itu amat penting apabila tidak sama sekali membenarkan pihak tertentu mencemarkan keharmonian perpaduan rakyat.

Jelasnya, kemajuan dinikmati sekarang adalah hasil daripada perpaduan erat antara pelbagai kaum di negara ini dengan keadaan yang aman selama ini telah membolehkan kerajaan merancang pembangunan negara dan membawa kemajuan dan kemakmuran untuk rakyat jelata.

“Semua pihak perlu sedar peri pentingnya kembali kepada landasan sebenar supaya asas penubuhan negara seperti dihasratkan pemimpin terdahulu tercapai untuk kesejahteraan rakyat jelata negara ini,” jelas beliau.

Selain itu, Vigneswaran berkata, MIC mencadangkan supaya penubuhan semula Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di dalam usaha menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India untuk membangunkan masyarakat India di negara ini.

Katanya, pelaksanaan pelan tindakan itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 menunjukkan ketelusan kerajaan hari ini menyantuni isu-isu masyarakat selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau terhadap masyarakat India dalam mengambil keputusan untuk meneruskan Pelan Tindakan Masyarakat India yang telah diketepikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau memberitahu, MIC juga meminta Perdana Menteri memberi perhatian terhadap penempatan yang mencukupi dalam program matrikulasi kepada kaum India apabila kerajaan BN sebelum ini telah memperuntukkan 1,500 tempat untuk kaum itu.

Selain itu, Vigneswaran menyatakan pendirian tegas MIC agar tiada lagi kes mati tahanan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut dalam tahanan.

“Polis Diraja Malaysia harus melakukan segala-galanya untuk menghentikan daripada berlakunya kes-kes seperti itu. Hak asasi setiap rakyat harus dipertahankan mengikut perlembagaan negara kita,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN