WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani rang undang-undang (RUU) baharu yang menjadikan penyebaran ‘pornografi dendam’, termasuk yang dihasilkan menerusi kecerdasan buatan (AI), sebagai jenayah persekutuan.
Akta, yang dinamakan sebagai ‘Take It Down Act’, diluluskan dengan sokongan Kongres dua parti dan mewajibkan semua platform dalam talian untuk memadam kandungan terbabit sejurus menerima laporan daripada mangsa.
“Dengan perkembangan pesat teknologi penjanaan imej AI, semakin ramai wanita menjadi mangsa gangguan melalui gambar eksplisit palsu dan ‘deepfake’ yang disebarkan tanpa kerelaan mereka.
“Mulai hari ini, ia menjadi satu kesalahan jenayah. Sesiapa yang menyebarkan imej intim tanpa persetujuan individu terbabit akan dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun,” kata Trump dalam satu majlis menandatangani akta tersebut di Rose Garden, Rumah Putih, semalam.
Beliau yang sebelum ini menyokong penggubalan rang undang-undang itu sejak Mac lalu, menyifatkan akta tersebut sebagai ‘kemenangan nasional’ dalam usaha melindungi kanak-kanak dan keluarga daripada eksploitasi dalam talian.
Teknologi ‘deepfake’ menggunakan AI untuk menghasilkan video atau imej palsu yang kelihatan seperti benar sering disalah guna untuk mencipta bahan pornografi palsu melibatkan wanita tanpa kebenaran mereka.
Walaupun beberapa negeri seperti California dan Florida sudah menggubal undang-undang melarang penyebaran ‘deepfake’ pornografi, akta baharu peringkat persekutuan itu bakal menyelaraskan tindakan di seluruh negara.
Bagaimanapun, segelintir pengkritik menyuarakan kebimbangan undang-undang itu boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa untuk menyekat kebebasan bersuara.
Yayasan Electronic Frontier Foundation (EFF), sebuah pertubuhan bukan untung yang memperjuangkan kebebasan bersuara, memberi amaran akta ini mungkin membolehkan pihak berkuasa memaksa platform dalam talian menurunkan kandungan sah yang tidak digemari golongan berpengaruh.
Melalui akta ini, semua laman media sosial dan platform digital diwajibkan menyediakan mekanisme khusus bagi membolehkan mangsa memohon pemadaman segera imej intim mereka yang disebarkan tanpa izin.- AGENSI










