KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan penurunan dengan hanya 24 orang yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, mereka terdiri daripada lapan keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol.
Katanya, setakat pukul 4 petang ini, tiada PPS lain yang dibuka selepas penutupan empat pusat iaitu di Setiu, Kuala Nerus dan Besut bermula semalam hingga pagi ini.
“PPS SK Atas Tol beroperasi bermula pukul 6.30 petang semalam membabitkan penduduk di sekitar Kampung Atas Tol,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut sekretariat itu, keadaan cuaca di Terengganu ketika ini masih lagi mendung.









