Terengganu kembali banjir  - Utusan Malaysia

Terengganu kembali banjir 

LALUAN di jambatan lama Teladas di Kemaman, Terengganu ditutup untuk semua kenderaan susulan banjir yang kembali melanda. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan banjir kembali melanda Terengganu dengan kali ini melibatkan daerah Setiu dan Dungun. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 9 pagi ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan keseluruhan 21 mangsa. 

Katanya, keadaan cuaca semasa di kebanyakan tempat masih lagi hujan lebat pagi ini.

“Di Setiu, PPS Sekolah Kebangsaan Kasar, Hulu Nerus 1 mulai dibuka pukul 1.30 pagi ini dengan menempatkan sebuah keluarga seramai empat orang. 

“Di Dungun pula, seramai 17 mangsa membabitkan empat keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan peringkat merah atau bahaya di Kemaman bermula hari ini. 

Amaran jingga atau buruk pula dikeluarkan bagi tujuh daerah lain iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. 

Sekretariat itu berkata, dua laluan di Kemaman kini ditutup kepada semua kenderaan berikutan dinaiki air. 

Katanya, laluan tersebut ialah di T133, Jalan Pelatoh-Lubuk Lesong dan  T08 di jambatan lama Teladas. 

Bagaimanapun, menurutnya, laluan di T138, Jalan Permaisuri/Hulu Seladang di Setiu masih lagi dibuka kepada semua kenderaan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya