IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi runtuhan tanah di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, ditamatkan petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, SAR ditamatkan secara rasmi pada pukul 6 petang tadi selepas Unit Anjing Pengesan (K9) mengesahkan tiada mangsa lain yang tertimbus dalam runtuhan berkenaan.
“Dalam operasi hari kedua hari ini, dua ekor anjing pengesan dari Unit K9 Selangor dibawa untuk menyertai operasi mengesan mangsa.
“Walau bagaimanapun, sehingga petang tadi, usaha mengesan mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus tidak menunjukkan sebarang petunjuk positif.
“Selepas perbincangan dengan pihak polis, kami berpuas hati dengan pemeriksaan pasukan K9 bahawa tiada mangsa lain berada di bawah runtuhan dan SAR ditamatkan secara rasmi pada pukul 6 petang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi yang disertai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) semalam, berjaya menemukan mayat dua lelaki.
Katanya, kedua-dua mangsa terperangkap dalam lori muatan sayur dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.
“Mayat kedua-dua mangsa yang ditemui pasukan penyelamat di bawah timbunan tanah runtuh telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi penyelamatan diteruskan sehingga hati ini dengan bantuan unit K9 bagi memastikan tiada lagi mangsa yang tertinggal di dalam tanah runtuhan tersebut,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 1.30 petang semalam, dua lelaki maut setelah kenderaan masing-masing ditimbus runtuhan tanah.
Mayat pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, berjaya dibawa keluar pasukan penyelamat pada pukul 10.50 malam selepas lebih 10 jam terperangkap.
Seorang lagi mangsa, pemandu Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, dari Klang, Selangor pula dibawa keluar pada pukul 9.55 malam. – UTUSAN ONLINE









