IPOH: Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar mayat pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini.
Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu dibawa keluar pada pukul 9.55 malam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azmi Osman berkata, mangsa yang dipercayai berasal dari Klang itu dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pulau Pinang.
“Hanya seorang mangsa dalam MPV berkenaan. Identiti lelaki yang dijumpai pada pukul 9.30 malam itu masih belum dikenal pasti.
“Operasi sedang dijalankan bagi membawa keluar mayat pemandu lori yang juga terperangkap dalam runtuhan berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










