Suami gagal, cuai beri nafkah punca perceraian - Utusan Malaysia

Suami gagal, cuai beri nafkah punca perceraian

ABAS Nordin sewaktu berucap pada Program Karnival Literasi Undang-Undang Syariah 2021 di pekarangan Balai Undang Luak Johol, Johol, Kuala Pilah hari ini. - GAMBAR/JKSNS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kegagalan dan kecuaian suami memberikan nafkah kepada isteri menjadi faktor utama kepada berlakunya kes perceraian di Negeri Sembilan.

Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS), Datuk Abas Nordin berkata, melalui statistik pendaftaran kes perceraian di Negeri Sembilan iaitu antara tempoh 2016 hingga 2021, secara purata setiap tahun kira-kira 2,600 kes perceraian berlaku.

Jelas beliau, ia berlaku akibat pelbagai faktor namun antara faktor utamanya ataupun 70 peratus daripada kes perceraian tersebut adalah kegagalan suami menyempurnakan tanggungjawab memberikan nafkah.

“Faktor kewangan, masalah pendapatan suami itu sendiri dan perselisihan rumah tangga berkaitan nafkah menjadi punca suami tidak memberikan nafkah kepada isterinya.

“Kesungguhan suami itu perlu walaupun diberhentikan kerja, dicutikan tanpa gaji, perlu mencari pendapatan lain sebagai contoh ada suami yang bekerja jurutera tetapi kerja jual ikan untuk tambahan pendapatan.

“Ini menunjukkan kesungguhan suami itu perlu untuk cari alternatif lain dan berusaha cari rezeki,” katanya kepada pemberita selepas Program Karnival Literasi Undang-Undang Syariah 2021 di pekarangan Balai Undang Luak Johol, Johol, di sini hari ini.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah.

Jelas Abas, trend punca perceraian tersebut perlu dibendung agar masalah rumahtangga dapat diatasi dan seterusnya membantu mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan negara yang makmur, aman dan harmoni.

Sementara itu, katanya, program yang dijalankan oleh JKSNS tersebut bertujuan untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada orang ramai supaya celik mengenai undang-undang mengenai syariah terutama berkaitan kepentingan dan tanggungjawab pemberian nafkah.

“Secara tidak langsung dapat membantu memberikan kefahaman kepada orang ramai (khususnya wanita) yang tidak faham mengunakan undang-undang syariah dalam menyelesaikan masalah rumah tangga,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN