Status MySejahtera Rosmah jingga, bicara ditangguh lagi - Utusan Malaysia

Status MySejahtera Rosmah jingga, bicara ditangguh lagi

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan lagi hingga Isnin depan selepas peguamnya memaklumkan beliau masih berstatus kontak rapat Covid-19.

Peguam Datuk Jagjit Singh memberitahu, status MySejahtera isteri bekas Perdana Menteri itu masih berwarna jingga selepas diperiksa dan disahkan oleh pendaftar mahkamah.

Ketika kes disebut di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Rosmah menunggu dalam kereta Proton Perdana hitam di pekarangan mahkamah kerana peraturan keselamatan hanya membenarkan kod MySejahtera berwarna biru memasuki bangunan itu.

Rosmah yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-70 hari ini diperintah hadir di mahkamah bagi membolehkan status MySejahteranya diperiksa sama ada beliau layak mengikuti prosiding perbicaraan.

Dua hari lalu, Hakim Mohamed Zaini menangguhan perbicaraan selepas kod warna MySejahteranya berwarna jingga yang menunjukkan beliau mempunyai kontak rapat dengan Covid-19.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menarik perhatian mahkamah dengan mencadangkan agar perbicaraan dikendalikan secara hibrid jika status MySejahtera Rosmah masih berwarna jingga minggu hadapan.

Beliau mencadangkan isteri bekas Perdana Menteri menyambung keterangan bela diri sama ada daripada pejabat peguamnya atau rumah dan dikawal selia oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini memaklumkan, meskipun turut memikirkan perkara tersebut secara peribadi dan telah meneliti beberapa statut yang berkaitan, namun beliau tidak menemukan peruntukan undang-undang mengenainya.

Jelasnya, pada peringkat ini, mahkamah memilih untuk mengambil pendekatan secara berhati-hati bagi mengelakkan perbicaraan terkeluar daripada landasan yang sepatutnya.

Mahkamah selanjutnya menetapkan perbicaraan turut bersambung pada 23 dan 24 Disember, 10 hingga 14 Januari dan 4 Februari tahun depan.

Sementara itu, seorang lagi peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan pihak pembelaan akan memanggil dua lagi saksi iaitu Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod yang ketika itu merupakan pegawai kanan di Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM) dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahkamah sepatutnya menyambung kes pembelaan pada perbicaraan terhadap Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah membenarkan pernyataan Rosmah yang dirakam ketika siasatan kes pengubahan wang haram, digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes rasuah projek solar.

Hakim Mohamed Zaini membenarkan pihak pendakwaan mencabar kredibiliti isteri bekas Perdana Menteri dan menyoal balas berhubung karektor Rosmah di bawah Seksyen 54 Akta Keterangan.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya