SEREMBAN: Kenyataan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang tidak mahu kes mahkamah ke atas Noor Neelofa Mohd. Noor berlarutan disebabkan keadaan anak guamnya itu yang sedang hamil mengesahkan teka-teki berhubung status kehamilan selebriti itu.
“Tetapi (jika kes diteruskan) ia akan berlarutan jadi panjang, dengan keadaan Noor Neelofa yang hamil tidak sesuai kita jalankan kes ini, kita ambil cara mudah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes di sini hari ini.
Sebelum ini, Noor Neelofa tidak pernah memberikan sebarang kenyataan berhubung status kehamilannya.
Terdahulu, Noor Neelofa yang memakai jubah berwarna biru dilihat berhati-hati ketika berjalan dan ‘baby bump‘ jelas kelihatan ketika hadir bagi prosiding sebutan semula kes di Kompleks Mahkamah Seremban di sini hari ini.
Selebriti yang juga usahawan itu kelihatan sedang sarat mengandung dan dipimpin tangan oleh suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail ketika berjalan.
Dalam prosiding hari ini, Mahkamah Majistret Seremban melepas tanpa membebaskan Noor Neelofa dan suaminya daripada tuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 2 Mei lalu.
Sebelum ini, media melaporkan biarpun kisah kehamilannya hangat diperkatakan orang ramai sejak kebelakangan ini, namun Noor Neelofa masih mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ mengenai perkara itu.
Neelofa dalam satu temu bual sebelum ini menyifatkan perkongsian berita kelahiran cahaya mata adalah lebih baik dihebahkan berbanding cerita kehamilan.
Sejak Julai lalu, khabar angin mengenai kehamilan Neelofa hangat diperkatakan selepas dia dilihat menunjukkan tanda-tanda ibu mengandung apabila asyik mengusap bahagian perutnya.
Neelofa dan Muhammad Haris melangsungkan pernikahan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.










