fbpx

23 Januari 2022, 7:26 am

  TERKINI

SPRM sering terima aduan seleweng dana, tabung masjid

RAZIM Mohd. Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini sering menerima rungutan dan aduan daripada orang ramai berkaitan berlakunya penyelewengan kutipan dana dan tabung masjid-masjid.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakatnya, Datuk Razim Mohd. Noor berkata, ada sesetengah kes, pihak SPRM dapat membuka kertas siasatan, namun, kebanyakannya hanyalah sekadar rungutan tanpa laporan lengkap diterima.

“Bagi saya, perkara ini serius, saya harap orang ramai sama ada ahli jawatan kuasa masjid atau ahli kariah dapat datang terus ke SPRM dan berbincang dengan pegawai-pegawai kami, barulah kami boleh tentukan hala tuju siasatan.

“Ini sekadar rungutan sahaja, kami terimanya ketika pegawai-pegawai berada di lapangan. Walaupun ia rungutuan, tetapi, kami tetap ambil perhatian serius kerana seperti kata pepatah, kalau tidak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang, tetapi, kami masih memerlukan kerjasama orang ramai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Kolokium Antirasuah di sini semalam.

Tambah beliau, laporan terus kepada SPRM beserta dengan maklumat lanjut itu penting supaya tidak ada berlaku kelemahan dalam siasatan selain bagi memastikan rungutan tersebut adalah berasas ataupun hanya tohmahan.

“Ahli kariah juga boleh buat aduan, pergi ke pejabat SPRM supaya kami dapat maklumat lanjut untuk menetapkan hala tuju siasatan seperti kesalahan apa yang dilakukan, masjid yang mana atau dana apa yang diseleweng serta apa yang dilakukan dengan dana tersebut.

“Pegawai SPRM kena jalankan siasatan dan risikan, jika dana itu digunakan untuk membeli sesuatu barangan, kami perlu tahu berapa banyak dibelanjakan dan sama ada berbaloi atau tidak perbelanjaan tersebut dengan barang yang dibeli.

“Kami tidak mahu ia hanya persepsi sahaja, biarlah SPRM jalankan siasatan terperinci sama ada ia betul atau tidak bagi mengelakkan tohmahan. Orang boleh buat tohmahan tetapi sama ada ia betul atau tidak, ia perlu disiasat,” katanya lagi.

Sementara itu, Razim menasihatkan kepada ahli jawatan kuasa masjid dan surau atau pihak yang bertanggungjawab menguruskan dana-dana tersebut supaya perlu mempunyai sistem yang jelas supaya ia dapat dijadikan rujukan.

“Saya harap pihak yang bertanggungjawab dapat memberikan kursus kewangan kepada individu atau pihak yang mengendalikan amanah itu. Ia termasuklah daripada segi membuat rekod perbelanjaan dan sebagainya supaya ia lebih telus.” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN