SPR seru 1.2 juta keluar mengundi Sabtu ini - Utusan Malaysia

SPR seru 1.2 juta keluar mengundi Sabtu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru pengundi supaya keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 1,213,769 orang pengundi biasa daripada 1,252,014 orang pengundi berdaftar layak mengundi.

Katanya, seramai 20,360 orang lagi adalah pengundi awal manakala 17,885 orang telah mengundi secara pos.

“SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada hari Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ikmalrudin menyarankan pengundi untuk terus ke saluran mengundi yang ditetapkan.

“Para pengundi juga disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui saluran-saluran seperti portal SPR, aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat iaitu pusat mengundi; saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Katanya, SPR juga meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi di aplikasi MySPR Semak dan pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.

Selain itu, katanya, para pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Pengundi juga dinasihatkan untuk menyimpan kad pengenalan mereka dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya