Seorang lagi mangsa bot PATI karam ditemukan bawah bot - Utusan Malaysia

Seorang lagi mangsa bot PATI karam ditemukan bawah bot

ANGGOTA pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa bot karam yang terdampar di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi di Johor. - UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Satu lagi mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlibat dalam kejadian bot karam, awal pagi tadi di Tanjung Balau, di sini ditemukan, menjadikan jumlah terkini mangsa yang terkorban seramai 11 orang.

Mangsa lelaki tersebut ditemukan pada pukul 10.30 pagi di bawah bot yang terbalik akibat kejadian berkenaan.

Daripada keseluruhan 11 mangsa terbabit, tujuh daripadanya adalah lelaki dan empat wanita.

Terdahulu akhbar ini melaporkan sekurang-kurangnya 10 terbunuh manakala 29 lagi PATI hilang selepas bot dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di perairan Tanjung Balau, kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

Dianggarkan seramai 60 orang PATI berada di dalam bot berkenaan dengan 21 orang dilaporkan selamat.

Sementara itu, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua PATI itu dipercayai hendak masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Katanya, anggaran nilai barang rampasan dalam operasi itu bernilai RM128,000 melibatkan bot sepanjang 44 kaki dan empat enjin bot berkuasa kuda 200.

“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron ATM serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan terbabit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN