Sektor swasta diseru jadi pemangkin pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

Sektor swasta diseru jadi pemangkin pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19

ISMAIL SABRI Yaakob ketika berucap secara maya merasmikan Persidangan Ekonomi dan Teknologi China Antarabangsa 2021 di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru sektor swasta menjadi pemangkin kepada perubahan, memacu kestabilan dan menyumbang kepada matlamat bersama dalam menjadikan ekonomi negara lebih mapan.

Menurut Perdana Menteri, pembangunan semula ekonomi Malaysia bukan satu usaha mudah, justeru menjadi amat kritikal untuk semua pihak berganding bahu dalam memulihkannya kesan daripada impak pandemik Covid-19.

Tambahnya, Malaysia mengamalkan pendekatan mesra atau properniagaan dan dibuktikan menerusi komitmen Kerajaan Pusat terhadap konsep perkongsian antara awam dan swasta.

Dalam masa sama kata beliau, Malaysia turut menawarkan kelebihan kepada para pelabur bukan hanya sebagai gerbang kepada rantau ASEAN, malah kepada seluruh dunia.

Jelasnya, beberapa organisasi antarabangsa dalam laporan mereka turut memperakui keberkesanan polisi berkaitan ekonomi yang dilaksanakan Kerajaan Pusat.

“Antaranya IMD World Competitiveness Center meletakkan daya saing global Malaysia pada kedudukan ke-25 daripada 64 ekonomi tahun ini.

“Selain itu, Indeks Ketersediaan Rangkaian 2016 oleh Forum Ekonomi Dunia turut meletakkan Malaysia dalam kedudukan keenam kerajaan paling celik digital daripada 139 negara ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap secara maya merasmikan Persidangan Ekonomi dan Teknologi China Antarabangsa 2021 di Batu Feringghi, di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut menyampaikan ucapan secara maya pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Sementara itu, menyentuh mengenai hubungan ekonomi antara Malaysia dan China, Ismail Sabri berkata, kedua-dua negara terus memperkukuh kerjasama meskipun di sebalik krisis pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.

Jelas beliau, China merupakan rakan pelaburan terbesar kepada Malaysia sejak 2009 dan menyumbang sebanyak 18.6 peratus kepada nilai pelaburan negara tahun lalu.

Katanya, eksport ke China merekodkan paras tertinggi tahun lalu iaitu berkembang 11.1 peratus kepada AS$37.77 bilion selain negara itu juga merupakan sumber import terbesar Malaysia merangkumi 21.5 peratus daripada jumlah import.

“Dari sudut pelaburan pula, China merupakan pelabur asing terbesar bagi sektor perkilangan di Malaysia  antara 2016 hingga 2020.

“Sepanjang tempoh lima tahun itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menerusi agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan sebanyak 243 projek dengan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak AS$14.91 bilion yang turut mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan di negara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.