Sebak lihat ibu bernafas guna bantuan peralatan oksigen - Utusan Malaysia

Sebak lihat ibu bernafas guna bantuan peralatan oksigen

KHATIJAH Che Wain (duduk) menjaga ibunya, Salmah Husin (berbaring) yang cuma bernafas menerusi peralatan oksigen elektrik di Felda Sungai Tekam di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang anak, Khatijah Che Wain, 55, sebak melihat ibunya, Salmah Husin, 83, mengalami gangguan pernafasan dan hanya bergantung kepada tabung oksigen untuk menyambung hayat di Felda Sungai Tekam dekat sini. 

Ini kerana ibunya menghidap paru-paru kronik yang mula dikesan pada 2015 dan lama-kelamaan menyebabkannya tidak boleh bernafas dengan baik serta mula menggunakan bantuan peralatan tabung oksigen elektrik sejak dua minggu ini. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Khatijah berkata, ibunya mula bergantung kepada tabung oksigen elektrik yang disambung melalui tiub getah menerusi hidung untuk bernafas sejak paru-parunya rosak dan tidak berfungsi dikesan oleh doktor Hospital Bandar Pusat Jengka.

“Saya sebak melihat ibu sukar bernafas dan berasa cemas apabila kadang kala berlaku bekalan elektrik terputus menyebabkan aliran oksigen terhenti.

“Ketika bekalan elektrik terputus ibu mengalami gangguan untuk bernafas dan terpaksalah kami menyewa tabung oksigen yang boleh diganti (disambung) bagi memulihkan dia bernafas,” katanya di Felda Sungai Tekam di sini semalam. 

Menurut Khatijah, sehingga kini mereka hanya menyewa peralatan pernafasan kuasa elektrik dan tabung oksigen daripada sebuah farmasi di Bandar Pusat Jengka dengan perbelanjaan RM400 sebulan.

Bercakap selanjutnya, Khatijah yang tidak bekerja semata-mata menjaga ibunya berkata, tekanan dihadapi keluarga itu apabila ibunya turut mengalami komplikasi jantung bengkak dan darah tinggi sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, sebulan sekali ibunya akan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh dan Bandar Pusat Jengka untuk merawat ketiga penyakit tersebut termasuk mengambil darah.

“Sebelum ini, dia kerap kali ditempatkan di wad selama beberapa hari untuk rawatan kali terakhir pada bulan lalu apabila doktor mengesahkan paru-parunya kronik dan terpaksa menggunakan bantuan oksigen untuk bernafas.

“Selain tabung oksigen, ibu saya hanya bergantung kepada ubat yang dibekalkan oleh hospital dan Klinik Kesihatan Tekam Utara malah hanya berbaring di tempat tidur sejak ditimpa penyakit kronik ini,” katanya.

Khatijah berkata, ibunya yang mempunyai sembilan anak berusia antara 51 hingga 64 tahun hanya makan nasi kanji dan dia bercadang membeli susu tepung yang mengandungi campuran bahan kesihatan.

“Saya dan keluarga terpaksa mengeluarkan belanja rawatan sebanyak RM60, manakala menyewa ambulans mencecah RM600 ketika berulang alik bagi keselamatan dirinya semasa ke hospital.

“Ini ditambah pula dengan belanja menyewa peralatan elektrik membantu pernafasan, tabung oksigen, lampin pakai buang dan kebajikan lain mencecah sebanyak RM1,600 sebulan,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dan dermawan dapat membantu katil untuk orang sakit (seperti katil hospital) dan kerusi roda bagi memudahkan dibawa ke bilik air.

Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Khatijah menerusi talian 0179302296 atau sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0600441000066493 (Salmah Husin) atau akaun Maybank bernombor 156020517507 (Khatijah).-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.