PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad mengakui bahawa beliau tidak dapat menjadi pemimpin terulung Islam seperti Khalifah Umar Abdul Aziz.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan akan memastikan kesemua 14 agensi yang diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa memastikan nasib rakyat miskin terbela.
“Saya memang tidak mampu untuk jadi seumpama Umar Abdul Aziz, tetapi insya-Allah saya sedia mencontohi kejayaan pemimpin itu dalam menjaga kebajikan rakyat marhaen,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertemuan Rasmi Jakim Bersama 28 Pemimpin Korporat Milik Kerajaan (GLC) Malaysia 2021 di sini hari ini.
Umar merupakan antara khalifah terkenal zaman Bani Umayyah yang memerintah kurang tiga tahun, namun tiada rakyat yang layak menerima bantuan zakat kerana tidak ada orang miskin.
Mengulas lanjut, Idris tidak mahu golongan asnaf terpaksa datang ke pejabat agama hanya untuk merayu bantuan tetapi sebaliknya, pegawai terbabit yang kena cari mereka di rumah.
“Kita patut berasa berdosa apabila ada kes sebegini kerana individu itu amat susah pergi ke pejabat bagi memohon pertolongan dan kita pula bebankan mereka dengan birokrasi. Justeru, saya bersyukur kerana menjelang 100 hari pentadbiran sehingga 9 Disember ini, Jakim sudah menyelesaikan sejumlah 208 program bersifat tindakan mesra masyarakat. Antara contoh terbaik ialah program Musa’adah Tijariyah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sudah berjaya membantu 1,000 usahawan berbanding sasaran 700 orang,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap GLC dapat bekerjasama terutama tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berbentuk pendidikan untuk anak-anak dari keluarga berpendapatan B40 seperti menaja pemasangan peranti jalur lebar atau wifi di masjid atau surau untuk memudahkan kanak-kanak mengikuti pembelajaran atas talian tanpa masalah besar.
“Langkah ini juga akan tarik mereka menunaikan solat fardu secara berjemaah, seumpama dua dalam satu, sekali gus mendekatkan kanak-kanak dan remaja kepada rumah Allah,” jelasnya.
Idris yang pernah bertugas sebagai pensyarah universiti awam berkata, isu pendidikan amat penting kerana ia kunci utama bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup keluarga.
Bahkan jelasnya, dengan golongan itu sentiasa tidak tinggal solat wajib, ia akan memastikan akidah anak bangsa terpelihara daripada sebarang gejala yang tidak sihat dan kerosakan akhlak.










