ALOR SETAR: Setiap Mesyuarat UMNO Cawangan di seluruh negeri Kedah digesa membawa usul supaya UMNO atau Barisan Nasional (BN) negeri itu bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, langkah tersebut penting bagi membolehkan parti itu kembali berdiri dengan kekuatan sendiri tanpa terus dilihat bergantung kepada pihak lain.
Menurut beliau, UMNO mempunyai keupayaan tersendiri termasuk jentera parti yang kukuh, struktur organisasi yang tersusun serta pengalaman luas dalam menghadapi pilihan raya.
“Sudah sampai masanya UMNO kembali berdiri dengan kekuatan sendiri. Kita tidak boleh terus dilihat sekadar melengkapkan pihak lain atau bergantung kepada mana-mana gabungan.
“Kekuatan parti mesti datang daripada keyakinan terhadap diri sendiri serta kesatuan dalam kalangan ahli,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, suara akar umbi amat penting dalam menentukan hala tuju parti dan usul yang dibawa di peringkat cawangan boleh menjadi asas kepada pertimbangan kepimpinan di peringkat lebih tinggi.
Katanya, jika pendirian tersebut dizahirkan secara jelas dan konsisten di peringkat cawangan, ia mampu memberi gambaran sebenar kehendak ahli terhadap masa depan UMNO di negeri itu.
“UMNO mempunyai pilihan dan kekuatan tersendiri. Sebarang bentuk kerjasama politik pada masa hadapan perlu dibina atas dasar saling menghormati, bukan kebergantungan.
“Saya menyeru semua cawangan agar membawa usul ini dengan serius demi memastikan UMNO kembali tampil sebagai parti yang kuat, jelas pendiriannya dan terus dihormati rakyat,” katanya. – UTUSAN










