“Saya mohon maaf atas kekhilafan” - Danish Iskandar - Utusan Malaysia

“Saya mohon maaf atas kekhilafan” – Danish Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya mohon maaf atas kekhilafan berkaitan isu yang telah tercetus ini”.

Itu reaksi pelakon baharu, Danish Iskandar berhubung penglibatannya sebagai salah seorang pelakon dalam drama berunsur homoseksual, Stay Away From Me yang tular baru-baru ini.

Remaja berusia 17 tahun itu berkata, dia sama sekali tidak menyokong babak-babak sonsang yang dilakonkannya di dalam drama tersebut.

Katanya, dia kesal dan mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku.

“Ini juga disebabkan kenaifan saya sebagai pendatang baharu.

“Jadi, untuk masa mendatang saya akan lebih berhati-hati dan tiada isu seumpama itu berlaku. Apa yang  terjadi buat saya jadi fobia,” katanya.

Danish berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Dia ditemani ibu bapanya selain peguam, Datuk Wan Azmir Wan Majid, Mohd Norasmawi Norani, Siti Hajar Aisyah Mohd Pozi dan Nurul Hafidzah Hassan.

Dalam pada itu, Wan Azmir berkata tindakan susulan akan dilakukan selepas perbincangan terperinci dilakukan bersama anak guamnya.

Jelasnya, ketiga-tiga pelakon termasuk Rees Ayman dan Hardy Saiful tidak dimaklumkan berhubung babak sonsang di dalam drama yang ditayangkan di aplikasi mencari pasangan bagi golongan Gay itu.

“Sepanjang perbincangan dan penggambaran yang berjalan sekitar Ogos hingga September lepas, pihak produksi tidak memberitahu tentang rancangan mempromosikan aplikasi berkenaan.

“Kami masih lagi mendalami kes ini . Selalunya, jika artis ambil tindakan, ia akan memberi kesan kepada kariernya.

“Anak guam saya masih muda dan karier mereka baharu bercambah. Kami mungkin akan pertimbangkan untuk ambil tindakan jika hal ini berlarutan dan pihak produksi masih menyiarkan video berkenaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN