KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menjadi tidak keruan apabila siasatan mengenali skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula.
Tambahnya, banyak perkara yang terlintas di fikiran, perasaannya menjadi tidak menentu dan risau akan keselamatan diri serta keluarga.
“Sukar untuk gambarkan perasaan saya pada masa itu. Rasa tak tentu hala, tidak keruan. Secara peribadi, saya sedang memikirkan apa yang sedang berlaku. macam-macam rasa ada, takut ada, risau ada.
“Saya lebih risaukan keselamatan keluarga saya. Bila perkara tersebut berlaku, awak akan mula risau mengenai banyak perkara. Saya hanya manusia biasa, tentulah pelbagai perkara di fikiran terutama apabila ditahan pihak berkuasa,”kata saksi pendakwaan ke-13 itu.
Bagaimanapun, Ismee menafikan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah menjanjikan apa-apa perkara terhadapnya sekiranya memberikan beliau memberikan keterangan mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan skandal tersebut.
“Tiada sebarang janji dibuat pada saya. Saya tak ingat sekiranya ada sebarang janji dibuat kepada saya. Cuma apabila saya suarakan kebimbangan saya, mereka (SPRM) cuma kata tiada apa yang perlu saya takutkan atau perlu menjadi paranoid mengenainya. Tiada sebarang janji dibuat,” kata Ismee.
Ismee berkata demikian ketika disoal balas peguam bela, Datuk Hariharan Tara Singh pada perbicaraan Najib yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Selain itu, saksi tersebut memberitahu, walaupun beliau tidak dikenakan sebarang tuduhan jenayah di mahkamah namun Ismee telah disaman oleh 1MDB.
Disoal adakah beliau merasa dikhianati kerana tetap disaman walaupun memberi keterangan terhadap Najib, Ismee menyatakan dia lebih merasa sedih.
“Saya lebih rasa sedih berbanding rasa dikhianati apabila menerima saman daripada 1MDB. Saya ada juga telefon beberapa individu seperti Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (bekas pengerusi 1MDB) dan Ashvin Valiram (bekas pengarah 1MDB) dan tanya sama ada mereka juga menerima saman yang sama,” ujarnya.
Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn. Bhd. telah memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion, termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.
Saman itu difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti, termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu, manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku.
Kesemua entiti dan individu terebut disaman atas pelbagai dakwaan antaranya pelanggaran tanggungjawab fidusiari dan konspirasi.
Pada 16 Ogos lalu, 1MDB bagaimanapun menarik balik saman terhadap tujuh individu iaitu Che Lodin, Ismee, Ashvin Tan Sri Ong Gim HUat (bekas Pengerusi 1MDB), bekas Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd. Hazem Abdul Rahman serta bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Januari 2022. -UTUSAN ONLINE