Kurung Riau berbisik

Kurung Riau berbisik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kurung Riau lahir daripada pertemuan budaya Arab, Parsi, Turki dan Melayu sejak abad ke-18 hingga awal abad ke-19.

Ketika itu, rantau Kepulauan Riau-Lingga serta Pahang menjadi titik silang perdagangan dan dakwah.

Bentuknya dipengaruhi potongan jubah Arab, busana Turki serta pakaian istana Melayu yang menekankan kesopanan dan struktur terletak.

Minggu ini, saya perkenalkan jenama tempatan, Seri Maharani yang bukan sahaja menghidupkan semula fesyen ini malah, mencantikkan bentuk dan mengembalikan rasa asalnya.

Setiap rekaan terasa seperti helaian sejarah yang kembali bergerak, kini di tubuh wanita moden Malaysia yang yakin pada akar budayanya sendiri.

Contohnya kurung Riau klasik tanjung rona lilac.

Warnanya lembut seperti angin pagi yang menyentuh pipi.

Ia membawa soft girl energy, lembut yang matang dan tahu arah, bukan jenis manja kosong.

Sesuai dipakai ke majlis perkahwinan atau acara formal, tanpa perlu menambah banyak aksesori.

Sepasang subang mutiara kecil sudah cukup untuk menambah keanggunan.

Gayakan dengan selendang sifon nipis yang dibiarkan jatuh bebas di bahu dan seutas tas kecil dalam tona champagne akan mengikat keseluruhan gaya tanpa menghilangkan ketenangan lilac itu.

Untuk penggemar gaya understated, warna minty blue memberikan rasa tenang dan klasik. Ia ada personaliti yang senyap tetapi memikat.

Padankan dengan kerongsang perak atau suasa lama. Selendang satin atau organza akan memberi sedikit kilau yang halus, sementara kasut tumit rendah warna nude atau perak memastikan keseluruhan gaya kekal harmoni.

Rambut pula tidak perlu rumit. Cukuplah dengan sanggul rendah atau keriting lembut.

Jika mahu tampak lebih menarik, sisipkan satu kerongsang kecil pada selendang.

Apa yang membuat Seri Maharani istimewa ialah caranya menghormati susur galur kurung Riau.

Dari pengaruh jubah Arab, potongan busana Turki yang disesuaikan ke budaya Melayu sehingga siluet segi tiga yang menjadi ciri utama baju Riau Pahang.

Semuanya disulam halus ke dalam rekaan, tanpa memaksa kurung itu menjadi sesuatu yang bukan dirinya.

Namun, yang paling saya suka adalah kurung ini tidak sekadar berpaut pada sejarah. Ia mengajak kita melangkah ke depan dengan bangga.

Memakainya seolah-olah membawa satu warisan yang tidak pernah hilang, cuma menunggu untuk dihidupkan semula.

Dan mungkin inilah keindahan sebenar kurung Riau. Ia tidak meminta perhatian, tetapi apabila anda menyarungnya, seluruh dunia terasa seperti berhenti sejenak.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN