Saksi, waris mangsa kemalangan maut diminta tampil  - Utusan Malaysia

Saksi, waris mangsa kemalangan maut diminta tampil 

GAMBAR keluarga yang ditemukan di dalam poket seluar mangsa kemalangan maut di hadapan Lapangan Terbang Kota Kinabalu hari ini. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan maut yang membabitkan seorang lelaki berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk tampil membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, mangsa merupakan seorang pejalan kaki yang tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemukan oleh seorang pemandu dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Deputi Superintenden Jo Ak Hang berkata, seorang pemandu yang kebetulan melalui jalan berkenaan ternampak mangsa terbaring di laluan berhadapan KKIA dalam keadaan berlumuran darah.

Pemandu berkenaan terus menghubungi polis untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan anggota dan pegawai polis bergegas ke lokasi kemalangan dan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Tiada sebarang pecahan komponen kenderaan atau kesan tayar ditemukan di sekitar lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Tambah beliau, pihaknya hanya menemukan sekeping gambar keluarga di dalam poket seluar mangsa dan mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

Jo Ak berkata, berdasarkan sampel darah yang dilakukan semasa bedah siasat bagi analisis alkohol dan dadah, mangsa tidak disyaki mabuk mahupun berada di bawah pengaruh dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Waris atau keluarga mangsa boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik IPD Kota Kinabalu Inspektor  Nurul Farhana Fadzil di talian 013-8090954.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN