KOTA KINABALU: Seramai 250 orang wanita Sabah menerima geran bantuan untuk memulakan perniagaan di bawah Program MyKasih Kapital hari ini.
Program yang membantu memperkasa ekonomi kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 itu membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM125,000.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, 250 orang itu merupakan sebahagian daripada 5,000 orang penerima MyKasih Kapital di seluruh negara.
Beliau berkata, program di bawah Yayasan Kebajikan Negara ini diharap dapat membantu meningkatkan taraf hidup golongan wanita yang memerlukan bantuan kewangan segera untuk memulakan perniagaan.
Katanya, sejumlah RM6.25 juta turut diperuntukkan menerusi Bajet 2022 untuk meneruskan pelaksanaan program tersebut pada tahun depan.
Bagi penerima di Sabah tahun depan, penilaian sedang dilakukan untuk mengenal pasti jumlah penerima tapi, apa yang pasti bilangan penerima akan ditambah sehingga lima kali ganda daripada jumlah penerima pada tahun ini.
“Kita juga akan bekerjasama dengan syarikat korporat untuk mengadakan program ini secara berkala dan bersiri bagi menyampaikan geran bantuan.
“Bantuan ini bukan sekadar membantu wanita memulakan perniagaan tapi untuk motivasi diri dan bangkit menerusi perniagaan selepas terjejas akibat pandemik.
“Ada penerima yang tidak pernah berniaga namun, terpaksa berniaga setelah suami diberhentikan kerja,” katanya.
Rina berkata, pemantauan selama enam bulan akan turut dilakukan untuk menilai prestasi penerima dan jika ada yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan, mereka akan terus dibantu melalui kerjasama antara kementerian ini dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensi lain seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Jelas beliau, menerusi program itu mereka mahu mewujudkan satu sistem rangkaian untuk membantu golongan wanita untuk lebih berjaya dalam bidang perniagaan.
Pada tahun ini, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi membantu wanita menjana pendapatan menerusi penglibatan dalam bidang keusahawanan.










