PRN Sarawak: Willie bukan Ali Biju, sanggup pakai baju GPS sokong pak cik - Utusan Malaysia

PRN Sarawak: Willie bukan Ali Biju, sanggup pakai baju GPS sokong pak cik

WILLIE Mongin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tidak seperti rakannya Datuk Ali Biju, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memilih jalan berbeza.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II itu mengotakan janjinya sebelum ini untuk tidak bertanding menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.

Ali, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Saratok juga dari Bersatu semalam menyerahkan borang penamaan calon untuk  bertanding kerusi Krian sebagai calon Bebas melawan GPS.

Ia sekali gus melanggar arahan presiden  Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertekad mahu memastikan gabungan parti diterajui Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Abang Openg itu menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Bercakap kepada pemberita, Willie berkata, beliau memberi sokongan penuh kepada pak ciknya yang juga calon GPS, Datuk Dr. Jerip Susil yang akan mempertahan kerusi Mambong.

Willie pernah bertanding di Mambong pada 2011 dan 2016 ketika mewakili PKR namun tewas dalam kedua-dua pilihan raya tersebut.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) Sarawak berkata, kesanggupannya memakai baju GPS semata-mata memastikan penyokongnya turut menyokong calon GPS.

“Dia (Dr. Jerip) ada penyokong sendiri, saya juga ada penyokong sendiri. Pada saya, tidak perlu saya katakan apa-apa, kamu boleh lihat tindakan saya. Saya turun padang dan saya cuba meraih sokongan untuknya,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Dr. Jerip banyak berjasa di Mambong setelah berkhidmat selama empat penggal serta layak diberikan mandat sekali lagi.

“Paling penting kita perlu memberi mandat baharu kepada beliau untuk memastikan GPS dapat terus menjadi kerajaan negeri dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Kami boleh bekerjasama, kami dapat lihat semangat bekerjasama dalam beberapa tahun kebelakangan ini, banyak pembangunan di kawasan kami. Saya percaya jika diberi mandat, dia akan menyampaikan lebih daripada itu,” katanya.

Dr. Jerip  berdepan pertarungan lima penjuru menentang Sanjan Daik dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Chang Hon Hiung dari DAP, Chong Siew Hung dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Joshua Roman dari Parti Bumi Kenyalang (PBK). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya