Polis Pahang berkas dua beradik dipercayai pengedar dadah - Utusan Malaysia

Polis Pahang berkas dua beradik dipercayai pengedar dadah

RAMLI MOHAMED Yoosuf (kanan) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah dan wang tunai diperoleh hasil serbuan terhadap dua suspek yang dipercayai pengedar dadah aktif khususnya di kawasan Felda sekitar Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan dua beradik warga tempatan dalam dua serbuan berasingan dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan seberat lebih tujuh kilogram bernilai RM392,000, Isnin lalu.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu sekali gus berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah khususnya dalam kawasan Felda di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, nilai rampasan dadah dan sitaan harta disyaki hasil kegiatan haram itu keseluruhannya mencecah RM1.04 juta.

Menurutnya, rampasan termasuk wang tunai lebih RM180,000 serta kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor bernilai RM210,000 dan tiga akaun bank dengan nilai simpanan RM258,126.

“Dalam serbuan tersebut suspek pertama berjaya ditahan sekitar pukul 11.30 malam di plaza tol Kuantan, dekat sini yang menggunakan sebuah motokar jenis Ford Raptor hitam yang diparkir tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

“Susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke pusat penyimpanan dadah di sebuah rumah di Kotasas dan menemukan satu beg zip berwarna hitam disyaki mengandungi pelbagai jenis dadah.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan dadah jenis heroin seberat 4.18 kilogram (kg), syabu (1.314 kg), pil yaba (415.80 gram) dan eramin 5 (1.1 kg),” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pahang di sini hari ini.

Ramli berkata, sepasukan polis kemudiannya melakukan serbuan ke sebuah rumah di Felda Panching Utara di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek telah menjumpai wang tunai berjumlah RM180,000 dipercayai hasil daripada pengedaran dadah.

“Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak setahun lalu dan memperoleh bekalan dadah dari Lembah Klang untuk diedarkan kepada 8,360 penagih, khususnya di sekitar kawasan Felda.

“Sementara itu, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek berusia 40 dan 43 tahun itu mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah namun, semakan rekod mendapati kedua-duanya memiliki rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

“Kedua-dua suspek direman untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selama tujuh hari sehingga 13 Disember ini, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN