FRANKFURT: Jerman mengulangi pendirian negara itu tidak akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara sehingga rakyat Palestin dan Israel mencapai penyelesaian dua negara melalui rundingan.
Kenyataan itu dibuat menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan Perancis dijangka menjadi negara terbaharu yang mengiktiraf negara Palestin, selepas Australia, Britain, Kanada dan Portugal berbuat demikian pada Ahad.
Langkah pengiktirafan itu bertujuan memberi tekanan terhadap Israel susulan kempen ketenteraannya di Gaza yang telah meragut puluhan ribu nyawa, memusnahkan sebahagian besar wilayah tersebut, dan menerima kecaman lantang daripada sekutu-sekutu Israel sendiri.
Kerajaan Israel pula menyatakan pengiktirafan terhadap negara Palestin seolah-olah memberi ganjaran kepada Hamas atas serangan besar-besaran pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang.
Semasa berlepas ke PBB di New York, Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul berkata, penyelesaian dua negara melalui rundingan adalah jalan yang dapat membolehkan rakyat Israel dan Palestin hidup dalam keadaan aman, selamat dan bermaruah.
“Bagi Jerman, pengiktirafan terhadap negara Palestin hanya wajar berlaku di penghujung proses tersebut. Namun, proses itu mesti dimulakan sekarang,” katanya.
Memandangkan tanggungjawab sejarahnya atas Holocaust, Jerman menjadikan sokongan terhadap Negara Israel sebagai asas utama dalam dasar luar negaranya.
Namun begitu, Berlin semakin lantang mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Gaza dan kesannya terhadap rakyat Palestin sejak kebelakangan ini, khususnya apabila keadaan kemanusiaan semakin meruncing, dengan PBB mengisytiharkan kebuluran di beberapa bahagian wilayah pesisir tersebut.
Lebih 140 pemimpin dunia dijangka berhimpun di New York minggu ini bagi sidang kemuncak tahunan Perhimpunan Agung PBB, yang dijangka akan banyak membincangkan soal masa depan rakyat Palestin.










