BAITULMUQADDIS: Timbalan Menteri Luar Palestin, Dr. Omar Awadallah menegaskan keputusan United Kingdom (UK), Australia dan Kanada untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka adalah bukti kukuh Israel tidak mempunyai kedaulatan terhadap wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967.
Dalam satu temu bual bersama agensi berita RIA Novosti, Awadallah berkata pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha diplomatik bertahun-tahun yang kini mula menampakkan hasil di peringkat antarabangsa.
“Langkah pengiktirafan ini diambil ketika berlakunya genosid terhadap rakyat Palestin dan pencabulan hak oleh Israel di Tebing Barat, termasuk di Baitulmuqaddis,” katanya.
Pada Sabtu, Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengumumkan Perancis akan mengiktiraf Negara Palestin secara rasmi pada 22 September, sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Ini menjadikan Perancis antara kuasa besar Eropah pertama yang menyertai gelombang sokongan baharu terhadap penubuhan negara Palestin.
Awadallah berkata, perkembangan ini mencerminkan komitmen masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara sebagai jalan terbaik untuk mencapai keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat.
“Negara-negara ini menunjukkan bahawa pengiktirafan kenegaraan Palestin adalah langkah praktikal ke arah keamanan serantau,” katanya.
Tegas beliau, pengiktirafan ini juga mengesahkan majoriti negara di dunia hanya mengiktiraf Israel dalam sempadan 1967, dan tidak mengiktiraf sebarang tuntutan Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki, termasuk usaha perluasan penempatan atau pengilhakan secara unilateral.
“Ini bertentangan sama sekali dengan dasar pendudukan Israel, termasuk rampasan tanah secara paksa dan cubaan mengenakan kedaulatan ke atas wilayah Palestin,” kata Awadallah.
Awadallah turut menyifatkan Israel sebagai “negara penyangak” yang terus melakukan jenayah terhadap penduduk Palestin.
Katanya, situasi yang semakin meruncing di Gaza dan Tebing Barat telah mendorong banyak negara untuk mempercepatkan tindakan diplomatik mereka, termasuk mengiktiraf Palestin secara rasmi.










