Polis buka kertas siasatan pemalsuan ujian Covid-19 - Utusan Malaysia

Polis buka kertas siasatan pemalsuan ujian Covid-19

ABDUL MAJID Mohd. Ali dalam sidang akhbar selepas Program Kami Prihatin di Taman Sri Duyong, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis membuka satu  kertas siasatan berhubung laporan pemalsuan keputusan ujian Covid-19 pesakit positif membabitkan sebuah klinik swasta di Ayer Keroh, di sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, laporan pertama telah dibuat oleh pihaknya sendiri berdasarkan laporan media, sebelum Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) melaporkan kejadian tersebut semalam. 

Jelasnya, setakat ini tiga individu termasuk seorang anggota polis dan dua kakitangan JKN telah dipanggil untuk memberikan keterangan. 

“Pihak polis ambil maklum kejadian pemalsuan keputusan ujian Covid-19 dilakukan sebuah klinik swasta dan laporan awal telah dibuat pada Isnin lalu. 

“Pihak JKN kemudian turut membuat laporan polis semalam dan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Kami Prihatin di Taman Sri Duyong di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu jawatankuasa teknikal turut ditubuhkan dengan kerjasama JKN. 

“Jawatankuasa itu akan menyiasat sama ada kejadian disebabkan oleh kesilapan sistem atau ia memang disengajakan pihak terbabit. 

“Berdasarkan laporan, klinik tersebut didakwa menukarkan status pesakit positif kepada negatif,” katanya. 

Tambahnya, klinik tersebut masih beroperasi dan pemilik akan dipanggil setelah pihak polis memperoleh bukti kukuh. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN