IPOH: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Speaker diperuntukkan RM300,000 untuk menyantuni masalah rakyat yang berdepan pelbagai kesukaran ekoran pandemik Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu merangkumi RM100,000 dalam bentuk pemberian terus atau ‘outright grant’ (OG).
“Peruntukan RM200,000 lagi dalam bentuk projek-projek kecil untuk masyarakat melalui Program Pemantapan Infrastruktur Bagi Memacu Kesejahteraan (Pemacu),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurut Saarani, setiap Pusat Khidmat ADUN diperuntukkan RM84,000 setahun, iaitu kenaikan sebanyak RM2,000 sebulan.
“Jumlah bagi keseluruhan peruntukan untuk ADUN Perak ialah RM25.0 juta.
“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri semoga dengan penambahan peruntukan ini membolehkan Ahli-ahli Yang Berhormat memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan,” katanya.










