Perlu ambil dos penggalak sebelum Februari 2022 - Utusan Malaysia

Perlu ambil dos penggalak sebelum Februari 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Semua penerima vaksin Covid-19 berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin dan penerima Sinovac berumur 18 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada Februari tahun depan bagi mengekalkan status lengkap divaksin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya kumpulan individu dinyatakan itu masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas Februari 2022, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap.

“Individu terbabit tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Pada masa sama, Khairy berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega akan diaktifkan semula bagi mempercepatkan pemberian dos penggalak.

Beliau berkata berikutan pengesanan kes kedua varian Omicron di negara ini, prosedur operasi standard (SOP) tambahan telah digariskan bagi mengekang penularan varian membimbangkan itu.

SOP tersebut menyatakan pengembara yang kembali dari United Kingdom (UK) mesti melakukan ujian pengesanan kendiri setiap hari sepanjang menjalani tempoh kuarantin dan melaporkan keputusan ujian tersebut dalam aplikasi MySejahtera (tempoh kuarantin adalah tujuh hari bagi yang telah lengkap vaksinasi dan 10 hari bagi yang tidak lengkap vaksinasi).

Selain itu, katanya, lebih banyak negara berisiko tinggi yang akan diumumkan dan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi, pengembara yang tiba dari negara-negara ini akan dipakaikan gelang pengawasan digital sepanjang tempoh kuarantin.

Khairy berkata terkini Nigeria disenaraikan di dalam negara berisiko tinggi menjadikan terdapat sembilan negara disenaraikan sebagai berisiko tinggi.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan menyenaraikan lapan lagi negara berisiko tinggi iaitu Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, India dan Kanada manakala lapan negara dikenakan sekatan iaitu Afrika Selatan, Botswana, Mozambique, Namibia, Malawi, Zimbabwe, Lesotho dan Eswatini. -UTUSAN ONLINE           

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN