IPOH: Masih terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian runtuhan yang mengorbankan dua nyawa di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, laluan di kedua-dua arah kini ditutup untuk kenderaan bagi membolehkan kajian dijalankan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Semalam, saya dimaklumkan masih terdapat tanda-tanda pergerakan tanah di bukit dekat sempadan jalan (kawasan runtuhan).
“Tindakan seterusnya kini di bawah kajian CKC. Saya harap mereka sentiasa peka dengan kemungkinan berlaku pergerakan tanah, malahan di jalan naik ke Cameron Highlands, ada alat yang boleh mengesan pergerakan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Dewan Belia Perak, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Belia Ke-3, Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurut beliau, ekoran penutupan jalan disebabkan runtuhan yang berlaku Khamis lalu, orang ramai yang mahu ke Cameron Highlands boleh menggunakan Jalan Tapah-Ringlet yang sebelum ini juga ditutup akibat tanah runtuh.
Semalam, Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir Hamdan Ali memberitahu, kapasiti air yang tinggi diserap tanah ekoran hujan berterusan sejak dua minggu lalu menyebabkan struktur tebing menjadi lemah dan akhirnya runtuh.
Menurut beliau, lokasi kejadian di Seksyen 27 itu tidak berada dalam kategori kawasan berisiko tanah runtuh berbanding tiga lokasi lain di laluan sama iaitu antara Seksyen 38 hingga 46.
“Kejadian tanah runtuh itu berpunca akibat hujan berterusan di mana taburan hujan sebanyak 217 milimeter direkodkan selama dua minggu,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 1.30 petang kelmarin, dua lelaki maut setelah kenderaan masing-masing ditimbus runtuhan tanah.
Mayat pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, berjaya dibawa keluar pasukan penyelamat pada pukul 10.50 malam selepas lebih 10 jam terperangkap.
Seorang lagi mangsa, pemandu Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, dari Klang, Selangor pula dibawa keluar pada pukul 9.55 malam. – UTUSAN ONLINE










