Perangi habis-habisan penyagak manipulasi harga barang - Utusan Malaysia

Perangi habis-habisan penyagak manipulasi harga barang

HALIM HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memerangi habis-habisan penyangak yang terlibat di dalam manipulasi kenaikan harga barangan sehingga membebankan kehidupan rakyat.

Presiden DPMM, Halim Husin berkata, selagi kegiatan jenayah itu tidak dibanteras hingga ke akar umbi, maka masalah tidak akan selesai dan menjejaskan nasib golongan B40 selaku kumpulan paling terkesan. 

Katanya, sejarah telah membuktikan bahawa kegiatan menaikkan harga barangan secara tidak terkawal akhirnya mengheret negara dan rakyat kepada krisis politik sebagaimana berlaku di kebanyakan negara Arab sehingga mencetuskan Arab Spring.

“DPMM kini juga sedang melaksanakan kajian bagi mengenal pasti punca kenaikan mendadak harga barangan asas yang sedang hangat diperkatakan sekarang ia termasuk menganalisis kedudukan rantaian bekalan dan keselamatan makanan disamping mengenalpasti amalan pencatutan harga serta budaya kartel di pelbagai sektor ekonomi termasuk peruncitan dan perkhidmatan.

“Kami dengan ini menyeru kerajaan pimpinan Ismail Sabri agar memerangi habis-habisan penyangak dan lanun yang cuba mengaut untung atas angin, tatkala negara dan rakyat berhempas-pulas dan menyabung nyawa untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi yang sedang melanda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Halim memaklumkan pihaknya telah menyediakan portal khas Pusat Mediasi Covid-19 sebagai langkah untuk bersama-sama kerajaan membantu orang awam serta masyarakat peniaga menyelesaikan sebarang pertikaian yang mempunyai implikasi undang-undang.

Jelas beliau, sebagai pertubuhan ekonomi terbesar orang Melayu dan bumiputera, pihaknya sentiasa peka dengan isu-isu kemasyarakatan terutamanya dalam membantu mengharungi musibah seperti banjir atau kebakaran bagi meringankan beban mangsa. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN