IPOH: Kerajaan Perak belum memuktamadkan keputusan untuk menjual air mentah kepada Pulau Pinang menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad Saarani berkata, pihaknya pernah bertemu secara tidak rasmi dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menyatakan hasrat perkara tersebut.
“Secara rasminya tidak ada apa-apa perbincangan dibuat, tidak ada memorandum persefahaman (MoU), tiada perjanjian atau persetujuan dibuat. Kita tahu ada kajian sedang dibuat secara terperinci, jadi belum lagi ada apa-apa laporan secara terperinci dan berasaskan kepada statistik atau pun saintifiknya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Bersama Risda Livestock Sdn Bhd (RLSB) dan Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPN) di sini hari ini.
Menurut Saarani, pihaknya memberikan keutamaan kepada rakyat negeri ini memandangkan penggunaan air domestik belum mencukupi.
Beliau berkata, penggunaan air untuk domestik di Perak tidak mencukupi khususnya di utara Perak seperti di Parit Buntar, Bagan Serai dan Taiping.
“Jadi kalau kita nak menjual air atau menyalur air Sungai Perak ke tempat lain, kita mesti memberikan keutamaan kepada keperluan penggunaan domestik,” katanya.
Menurutnya, kerajaan Perak tidak mahu tersilap langkah dalam membuat keputusan yang boleh menyebabkan kekurangan bekalan air untuk penduduk negeri ini.
Kata beliau, kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya menjual air keluar.
“Nanti orang Perak marah sebab belum ada apa-apa perjanjian. Kalau itu disebutkan dalam Dewan negeri, itu kerajaan negeri Pulau Pinang punya hal, bagi kerajaan negeri Perak kita belum ada apa-apa perjanjian rasmi dibuat,” katanya.
Kerajaan Pulau Pinang dilaporkan masih menunggu maklum balas kerajaan Pusat berhubung hasrat membeli air mentah dari Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri sudah menghantar surat permohonan rasmi pada 19 Oktober tahun lalu kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk membeli air mentah dari negeri ini.
Bagaimanapun, kerajaan negeri Pulau Pinang belum mendapat sebarang maklum balas dari menteri berkenaan.