PRU-16: Terlalu awal untuk bincang saya bertanding kerusi mana - Khairy

PRU-16: Terlalu awal untuk bincang saya bertanding kerusi mana – Khairy

KHAIRY Jamaluddin (tengah) ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Bertam Square, Kepala Batas, Pulau Pinang malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menganggap masih terlalu awal untuk membincangkan kerusi manakah yang ingin ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) walaupun terdapat desas-desus yang mengaitkan beliau dengan Parlimen Kepala Batas sebelum ini.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, buat masa ini, beliau sedang menunggu status permohonannya untuk menyertai UMNO semula yang dijangka diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 17 April ini terlebih dahulu.

“Saya baru nak masuk balik UMNO. Jadi, saya rasa terlalu awal untuk bertanyakan perkara itu (bertanding kerusi Parlimen Kepala Batas) kerana pertamanya ialah, saya pun minta keahlian lama saya di bahagian Sungai Buloh.

“Yang kedua pula, yang nak menentukan siapa bertanding di mana pun, di bawah Barisan Nasional (BN) ini mestilah Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Jadi, kita tak bolehlah mendahului perkara tersebut.

“Tetapi yang ketiga, bagi sayalah, Kepala Batas ini, sewaktu Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi masih ada, dia berpesan kepada kami iaitu saya selaku menantu dan Reezal (Reezal Merican Naina Merican) selaku anak ‘politik’ dia. Katanya, Kepala Batas ini biarlah Reezal yang jaga. Jadi, takkan saya tidak menghormati keputusan dan hajat orang tua saya?” soalnya.

Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Bertam Square di sini yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib serta beberapa kenamaan lain termasuk pemimpin setempat.

Untuk rekod, Tun Abdullah atau mesra disapa sebagai Pak Lah pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal iaitu dari tahun 1978 sehingga 2013 manakala Reezal Merican pula memegang jawatan yang sama selama dua penggal iaitu dari 2013 sehingga 2022.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN