KOTA BHARU: Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) melebarkan rekod kekalahan selepas tewas 0-2 di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam ini.
Perlawanan bermula agak hambar apabila kedua-dua pasukan terlalu berhati-hati dalam merencana setiap gerakan sehingga kurang melakukan percubaan ke gawang lawan masing-masing.
Pada perlawanan itu, KL City membuka jaringan pada minit ke-20 melalui jaringan Muhammad Safawi Rashid yang memanfaatkan kealpaan barisan pertahanan tuan rumah.
Terkesan dengan jaringan itu, Kelantan TRW cuba melakukan kebangkitan segera namun setiap serangan direncanakan dikekang pasukan pelawat.
Pemain pertahanan, Mohamad Azwan Mohd. Aripin hampir mendapatkan gol penyamaan buat Kelantan TRW tetapi percubaannya melalui sepakan percuma pada minit ke-41, ditepis keluar penjaga gol KL City, Quincy Julian Kammeraad.
KL City tampil lebih garang pada babak kedua dan terus memberi tekanan sehingga memaksa kem tuan rumah berkampung dalam bahagian padang sendiri sepanjang 10 minit terawal.
The City Boys menggandakan jaringan pada minit ke-54 melalui tandukan Kpah Sherman yang memanfaatkan hantaran kemas Victor Abril. – UTUSAN










