Penutupan jalan sempena Jelajah Negeri Sembilan 2021

Penutupan jalan sempena Jelajah Negeri Sembilan 2021

SHAFIEI MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Beberapa jalan di sekitar Negeri Sembilan akan ditutup secara berperingkat sempena Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Negeri Sembilan 2021 bermula esok sehingga 5 Disember depan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhammad berkata, kejohanan berkenaan akan melalui enam daerah dalam negeri ini.

Menurutnya, daerah yang terbabit dalam penutupan tersebut ialah Seremban, Nilai, Port Dickson, Kuala Pilah, Tampin dan Rembau dengan jarak keseluruhan perlumbaan adalah sejauh 372.1 kilometer.

“Kejohanan lumba basikal Jelajah Negeri Sembilan 2021 akan bermula pada 3 Disember di D’Tempat Country Club, Sendayan dan berakhir di Dataran Rembau, Rembau pada 5 Disember.

“Sehubungan itu, penutupan jalan secara berperingkat akan dibuat JSPT Negeri Sembilan apabila pelumba dan konvoi bagi kejohanan memasuki daerah dinyatakan pada tarikh ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafiei berkata, jalan akan ditutup secara berperingkat ketika kejohanan lumba basikal itu berlangsung dan akan dibuka semula selepas semua peserta dan konvoi melalui jalan itu.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan pegawai bertugas ketika perlumbaan berlangsung. Elakkan daripada menggunakan jalan raya terbabit dan gunakan laluan alternatif bagi memudahkan perjalanan pada masa dan tarikh ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN