Penjaga parkir didakwa pukul, tendang anak tunang berusia 11 tahun - Utusan Malaysia

Penjaga parkir didakwa pukul, tendang anak tunang berusia 11 tahun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga parkir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menendang, mencubit dan memukul anak tunangnya yang berusia 11 tahun menggunakan penyangkut baju, bulan lalu.

V. K. Jaganathan, 34, sebagai penjaga kanak-kanak lelaki itu, didakwa memukul mangsa menggunakan penyakut baju, menendang, mencubit, menumbuk dan menampar bahagian belakang badan, kaki, tangan, dahi dan kepalanya sehingga lebam.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kondominium di Jalan Berhala, Brickfields di sini pada 12 tengah hari, 28 November lalu.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan mengambil kira pertuduhan terhadapnya serius.

“Sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara menawarkan jaminan, pihak pendakwaan mengesyorkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan,” katanya.

Peguam P. Rajendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan mengambil kira anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah.

Menurut peguam bela, tertuduh menetap bersama tunang dan anaknya serta menjaga kanak-kanak itu seperti anak sendiri.

Tambahnya, tertuduh hanya berniat mendidik anak tunangnya bukan untuk mencederakan mangsa.

Hakim Nor Hasniah Ab. Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, tidak tinggal bersama mangsa serta melaporkan diri ke balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Nor Hasniah menetapkan 13 Januari tahun depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya