Gangguan Selat Hormuz jejas keselamatan ekonomi ASEAN

Gangguan Selat Hormuz jejas keselamatan ekonomi ASEAN

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melawat ke tapak pameran selepas merasmikan Majlis Putrajaya Forum 2026 di MITEC, Kuala Lumpur, semalam.UTUSAN/ AMIR KHALID.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, gangguan di Selat Hormuz menjejaskan keselamatan ekonomi ASEAN dengan kesan rantaian dirasai merentasi pelbagai sektor.

Titah baginda, negara yang mempunyai rizab tenaga rendah amat terdedah kepada gangguan berpanjangan dan memberi amaran bahawa sumber pendapatan rakyat boleh terjejas selama berbulan-bulan, walaupun keadaan kembali stabil dalam masa terdekat.

“Peningkatan mendadak harga tenaga, baja dan pengangkutan sedang menaikkan harga makanan, meningkatkan kos pengeluaran dan pengedaran serta memacu inflasi.

“Adalah amat penting run­dingan untuk menamatkan konflik Asia Barat diselesaikan dengan segera dan berjaya,” titah baginda dalam Ucaptama Diraja sempena Forum Putrajaya Kelapan yang dianjurkan semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di sini semalam.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, blok negara ASEAN perlu memastikan pemba­ngunan kecerdasan buatan (AI) memberi penekanan kepada prinsip keadilan dan keterangkuman, telus dalam operasinya serta bertanggungjawab kepada komuniti yang terlibat.

Titah baginda, ­pendekatan itu perlu disokong dengan pelaksanaan audit oleh badan bebas bagi memastikan penggunaan teknologi berkenaan tidak menyimpang daripada kepen­tingan masyarakat.

“Langkah berkenaan bukanlah bertujuan menyekat inovasi sebaliknya menjadi asas pen­ting bagi memastikan inovasi yang dibangunkan mendapat kepercayaan dan legitimasi awam.

“Persoalannya bukan sama ada ASEAN akan menggunakan AI, kerana ia sudah pun digunakan secara meluas tetapi sama ada rantau ini akan menjadi peneraju dalam membentuk penggunaannya atau ­sekadar menjadi pengguna kepada tek­nologi yang dibangunkan pihak luar,” titah baginda.

Menurut baginda, model pembangunan AI yang dominan ketika ini dilihat tertumpu dalam tangan segelintir syarikat besar dan negara berkuasa, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesannya kepada kesejahteraan sosial serta kepelbagaian budaya khusus­nya di rantau ASEAN.

“Model pembangunan AI yang dominan pada masa kini tertumpu di tangan sebilangan kecil syarikat besar dan negara berkuasa. Struktur insentifnya memberi ganjaran kepada skala, kelajuan dan penguasaan pasaran.

“Apa yang tidak diberi ganjaran dan dalam beberapa keada­an sengaja diketepikan seper­ti yang ditunjukkan oleh kes undang-undang baru-baru ini di Amerika Syarikat terhadap Meta Platforms dan YouTube, ialah perpaduan sosial, kepelba­gaian budaya, atau kesejahteraan jangka panjang komuniti yang datanya digunakan untuk melatih sistem tersebut, tetapi nilainya jarang sekali membentuknya,” titah baginda.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN