KOTA BHARU: Pemuda UMNO dan Pas di negeri ini mengakui masih sayangkan Muafakat Nasional (MN) dan berharap hubungan yang terjalin itu dapat diperkukuh, bukannya terlerai begitu sahaja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, setelah berpuluh tahun ‘berlawan’, MN akhirnya dibina dengan linangan air mata sesama saudara seagama.
“Pemuda UMNO Kelantan masih sayangkan MN kerana kerjasama ini telah dimeterai dengan air mata kasih sayang orang UMNO dan Pas.
“Walaupun kedua-dua parti bergeser, hubungan kami di peringkat akar umbi ini sebenarnya sangat baik. Sehingga sekarang Pemuda UMNO masih berhubung dengan Pemuda Pas,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Noor Hariri dalam pada itu mengakui tertarik dengan pandangan UMNO Selangor yang berharap parti itu dapat memberi autonomi kepada negeri-negeri sama ada untuk meneruskan kerjasama dengan Pas atau tidak.
“Namun, konsep autonomi ini hanya akan terjadi sekiranya Pas negeri turut diberi autonomi oleh pucuk pimpinannya. Tidak boleh bertepuk sebelah tangan. Jadi, adakah Pas Pusat sedia beri autonomi itu kepada Pas negeri?” Soalnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd. Kamal Mohamad senada dengan Noor Hariri apabila mengakui hubungan kedua-dua sayap parti itu di Kelantan amat baik sebagai rakan muafakat tanpa sebarang pergeseran.
“Pendirian kami tetap selari dengan keputusan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu mahu mempertahan MN dan memperkukuh Perikatan Nasional (PN). Setakat ini hubungan kami dengan Pemuda UMNO adalah baik sebagai rakan MN dan PN.
“Pemuda Pas Kelantan juga menolak sebarang provokasi dan usaha-usaha tertentu yang cuba memecahbelahkan MN,” katanya.
Mohd. Kamal menambah, walaupun urusan berkaitan MN dan PN akhirnya akan diputuskan di peringkat pusat, pihaknya juga percaya saluran sebaik-baiknya bagi menguruskan isu itu perlu turut melibatkan negeri-negeri.
“Semua negeri diseru mempertahankan MN dan menarik bukan Islam untuk bersama dalam gagasan PN. Pemuda Pas Kelantan juga berharap semua pihak kembali ke meja rundingan.
“Semua pihak perlu meninggalkan perkara yang boleh merosakkan hubungan ini seperti isu mempertahankan individu atau jawatan semata-mata. Kita berpendirian kewajipan menyatukan umat Islam dan menarik sokongan bukan Islam adalah lebih besar dan utama,” katanya.