SHAH ALAM: Aset milik usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman di kediamannya di Jalan Polo, Kota Damansara akan menjalani proses lelongan semula menerusi satu arahan yang akan dikeluarkan mahkamah minggu hadapan selepas seorang pembida berjaya gagal dikesan.
Menurut peguam daripada firma NHA Advocates & Solicitors, Zeti Zulkifili yang mewakili Nurwati Hussin, 41, dan Mohamad Syakir Husin, 32, dari syarikat OWA Resources berkata, proses berkenaan ditetapkan semula oleh mahkamah dalam masa tujuh hari mulai semalam.
Beliau berkata, lelongan semula itu terpaksa dibuat selepas pembida yang dikenal pasti, Muhammad Syazwan Ahmad Fiesol dipercayai pembantu peribadi kepada usahawan bergelar Datuk Seri gagal dihubungi selepas membida kesemua 40 aset pada harga RM132,000.
“Kami tunggu sehingga pukul 4 petang, namun dia masih tidak muncul. Kami kemudian hubungi mahkamah untuk dapatkan tarikh baharu arahan bagi melelong aset Sajat,
“Sebelum hilang, lelaki itu meletakkan deposit sebanyak RM5,000 dan ia akan dimasukkan ke dalam wang pampasan hasil jualan,” katanya.
Jelasnya, situasi tersebut menyebabkan proses perolehan pampasan tertangguh berikutan ramai pembida yang tidak dapat membeli apabila keputusan bidaan dibuat selepas lelongan bermula pada pukul 10.30 pagi semalam.
Tambah Zeti lagi, selepas proses lelongan tersebut masih terdapat RM50,000 lagi baki belum mencukupi untuk menjelaskan pampasan kepada Nurwati dan Mohamad Syakir yang pernah menjadi pengendali stokis perniagaan bengkung dan girdle milik Muhammad Sajjad.
Namun perbincangan lanjut bersama mereka mereka akan diadakan untuk menilai tindakan selanjutnya.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Muhammad Sajjad tidak kisah asetnya itu seperti Young Chang bernilai RM40,000, set bilik tidur, pendingin hawa, pelbagai jenis sofa, set pinggan mangkuk, lampu gantung, peralatan elektrik dan lain-lain dijual.
Katanya, yang dijual seperti diarahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada menerusi notis pada 30 November lalu hanyalah barangan dan tidak melibatkan hartanah miliknya pada alamat tersebut.
Walau bagaimanapun, dia memaklumkan akan menjual rumah miliknya itu dan selesaikannya dengan segera.
Dalam pada itu Zeti memaklumkan terdapat kira-kira 30 pembida hadir untuk membida barangan milik Muhammad Sajjad, namun daripada jumlah tersebut hanya lapan orang sahaja dibenarkan membida untuk membeli kesemua 40 barang yang disenaraikan.
Selebihnya pulang hampa kerana hanya sekadar mahu membeli satu atau dua barang.
“Bidaan lelongan itu bermula daripada harga RM77,600 sebelum berakhir pada harga RM132,000 selepas melalui enam kali pusingan.
“Proses lelongan disertai lapan pembida.Selepas melalui beberapa pusingan, akhirnya kita memuktamadkan seorang lelaki menjadi pemilik baharu aset Sajat dengan harga RM132,000,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE