PORT DICKSON: Sebuah lori tangki pula dikesan menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan kenderaan seperti dipaparkan dalam sebuah video tular di media sosial Facebook semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 2 hingga 4 petang, Sabtu lalu di Kilometer 27-28 Lebuh Raya Seremban Port Dickson dekat sini.
“Lori tangki itu dari arah Seremban ke Port Dickson dan semasa kejadian keadaan di lebuh raya sesak dengan kenderaan.
“Pihak polis telah mengesan lori tangki tersebut yang menggunakan nombor pendaftaran CEL 5916 yang didaftarkan atas nama sebuah Syarikat Pengangkutan beralamat di Bukit Raja, Shah Alam di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam tular video berdurasi 16 saat di media sosial Facebook memaparkan sebuah lori tangki memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan.
Sehubungan itu, Aidi Sham berkata, pihak polis meminta pemandu atau pemilik kenderaan berkenaan hadir ke Balai Trafik Port Dickson bagi siasatan lanjut.
Menurut Aidi Sham, pihaknya menyeru semua pengguna jalan raya supaya mengamalkan etika pemanduan yang baik, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan sikap toleransi di atas jalan raya supaya tidak mendatangkan kesulitan pada orang lain.
“Polis juga tidak berkompromi pada mana-mana pemandu atau penunggang yang mengambil jalan pintas dan berlagak sebagai ‘raja’ di lebuh raya bagi menjamin keselamatan pengguna lain,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan /Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.