Pemandu lori lari tinggalkan 42 PATI elak dicekup - Utusan Malaysia

Pemandu lori lari tinggalkan 42 PATI elak dicekup

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan polis di Jalan Besar, Parit 3 Sungai Burong, Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG: Seorang pemandu lori disyaki nekad meninggalkan 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawanya di Jalan Besar, Parit 3 Sungai Burong di sini, awal pagi tadi.

Suspek melarikan diri bagi mengelak dicekup polis yang menahan kenderaan berkenaan, kira-kira pukul 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, penahanan semua warga Indonesia berusia 40-an itu dilakukan pihaknya yang melakukan rondaan cegah jenayah.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Tanjong Karang mengesan sebuah lori yang dilihat mencurigakan di sekitar jalan tersebut.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemukan seramai 34 lelaki dan lapan wanita asing menaiki kenderaan tersebut.

“Pemandu lori berkenaan bagaimanapun dipercayai berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ramli, siasatan awal mendapati pendatang asing itu dipercayai baru tiba di negara ini menerusi laluan yang tidak diwartakan.

“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas lori yang membawa PATI berkenaan untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN