Pemandu langgar empat sekeluarga nafi mabuk - Utusan Malaysia

Pemandu langgar empat sekeluarga nafi mabuk

LEE Han Wee ketika hadir di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penyelia kedai rekaan dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki, manakala tiga anak mangsa turut parah, bulan lalu. 

Tertuduh, Lee Han Wee, 42, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memandu kereta dengan nombor pendaftaran MCC 9933 di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian kepada Abdul Rahim Mohamad, 53. 

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah malam di Jalan Limbongan dalam daerah Melaka Tengah, 29 November lalu. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan  tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020). 

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Sazali Omar dan dibantuTimbalan Pendakwa Raya Siti Bahiyah Amir Haidi mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira pertuduhan tertuduh adalah serius sehingga membabitkan kematian.

Peguam Wan Nurul Nurain Wan M. Razali yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dibenarkan dengan alasan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik sehingga sanggup datang ke mahkamah dalam keadaan bertongkat akibat kecederaan dialami susulan kemalangan. 

Selepas mendengar rayuan kedua pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan lesen memandu tertuduh juga digantung selepas kes selesai. Beliau kemudian menetapkan tarikh 27 Januari ini sebagai sebutan semula kes. 

Terdahulu, media pada 29 November lalu melaporkan seorang lelaki, Abdul Rahim Mohamad, 53, maut, manakala tiga lagi anaknya berusia 11, 13 dan 20 tahun parah selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah Nissan Teana dari arah bertentangan.  Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 pagi itu, kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa telah berpusing dan turut merempuh tiga buah motosikal lain.  – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN