[TRAGEDI TANJUNG BALAU] PATI: Jangan hanya tuding jari kepada pihak berkuasa Malaysia - Utusan Malaysia

[TRAGEDI TANJUNG BALAU] PATI: Jangan hanya tuding jari kepada pihak berkuasa Malaysia

PEGAWAI Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Azlina Jalil (lima dari kiri) meninjau tempat berlakunya kes bot yang membawa 50 pendatang asing karam di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa negara ini tidak seharusnya di­letakkan 100 peratus tanggungjawab dalam mengekang kema­sukan pendatang asing tanpa izin (PATI) selagi negara asal migran tidak mengambil langkah membanteras dari awal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber mendedahkan, beliau sendiri pernah menyuarakan tahap keseriusan isu PATI yang terpaksa dihadapi Malaysia kepada negara terlibat, namun belum menampakkan hasil positif setakat ini.

Katanya, Indonesia sendiri mengakui sukar membendung rakyat mereka keluar dari negara itu dan memasuki Malaysia secara haram kerana kewujudan pulau-pulau yang banyak.

“Apabila ditahan pihak berkuasa negara itu, mereka memberikan alasan mahu ke pulau lain yang masih dalam Indonesia, maka tidak berlaku apa-apa kesalahan.

“Tetapi yang menjadi masalah apabila mereka kebiasaannya memang hendak menuju ke Batam yang dikenali sebagai lokasi transit PATI sebelum cuba menyeberang masuk ke negara ini melalui lorong-lorong tikus, di situ sepatutnya Indonesia perlu main peranan.

“Sebenarnya, pihak berkuasa Malaysia boleh dikatakan telah berjaya membanteras kegiatan itu seperti yang kita dapat lihat dalam kekerapan laporan pe­nangkapan PATI oleh pelbagai agensi sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, bot gentian kaca dari Lombok, Indonesia yang membawa kira-kira 50 PATI warganegara itu karam akibat cuaca buruk berhampiran Pantai Tanjung Balau di Kota Tinggi.

Sementara itu, tujuh lagi mayat PATI dipercayai mangsa bot karam di perairan Tanjung Balau, di sini dijumpai pada hari kedua operasi dan menyelamat pagi semalam.

Jumlah itu menjadikan 18 orang terkorban setakat ini manakala 20 lagi PATI terbabit masih hilang, sementara 14 orang ditemukan dalam keadaan selamat.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Ma­ritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, kesemua mayat ditemukan berhampiran lokasi kejadian berlaku.

Katanya, kesemua mayat ditemukan antara pukul 6.45 hingga 10 pagi dan operasi mencari mang­sa diteruskan dengan mengge­rakkan aset pesawat Maritim Malaysia iaitu AW139 yang berada di sektor pencarian pada pukul 8 pagi semalam.

Dalam perkembangan sama, 14 PATI yang terselamat disahkan negatif Covid-19.

Simon Templer berkata, keputusan itu hasil saringan Kementerian Kesihatan Sungai Rengit.

“Justeru, difahamkan mereka yang ditahan di Pos Tanjung Sepang diserahkan kepada Jabatan Imigresen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN