Pasukan Grey United A juara Karnival Bola Sepak Super ICFL - Utusan Malaysia

Pasukan Grey United A juara Karnival Bola Sepak Super ICFL

MOHD.Izaham meraikan jaringan gol tunggal pada perlawanan akhir Karnival Bola Sepak Super ICFL di Stadium Mini Shah Alam semalam.- UTUSAN/ ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Pasukan Grey United A dinobatkan sebagai juara edisi pertama Karnival Bola Sepak Super ICFL selepas menewaskan AAB-MBSA 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Mini Shah Alam semalam.

Gol Grey United A hadir melalui sepakan penalti pada lewat perlawanan selepas penyerangnya dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Mohd. Izaham Haslin dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol AAB-MBSA bagi membolehkan Grey United A mendahului hingga minit terakhir perlawanan.

AAB-MBSA tetap memberi tentangan sengit cuba hingga ke minit-minit akhir perlawanan namun, keputusan kekal sehingga wisel penamat untuk membolehkan Grey United A muncul sebagai juara.

Kemenangan tersebut membolehkan Grey United A membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500 beserta Piala Fineline Malaysia dan medal sementara AAB-MBSA membawa pulang RM300 beserta medal.

Sementara itu tempat ketiga dimenangi oleh Grey United B selepas menewaskan pasukan CH Rembau Junior FC dalam penentuan sepakan penalti.

Mengulas kejayaan Grey United A, Ketua Jurulatihnya, Juha Ismail berkata, pasukannya yang berpengkalan di Pasir Mas, Kelantan itu sudah membuat persediaan lama untuk menyertai mana-mana kejohanan.

Katanya, memang menjadi kebiasaan Grey United untuk berkelana ke Lembah Klang pada setiap hujung tahun untuk menyertai pertandingan bagi pendedahan kepada pemain.

“Alhamdulillah, rezeki Grey United untuk muncul juara dan tempat ketiga. Kejayaan ini hasil usaha pemain dan selepas ini kami akan menyertai beberapa lagi kejohanan di Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, Presiden ICFL, Datuk Kamil Mohktar berkata, sebanyak 16 pasukan menyertai karnival yang dianjurkan sebagai persediaan untuk Piala Super ICFL yang akan dianjurkan tahun hadapan.

Menurutnya, Grey United A dan AAB-MBSA akan diberikan slot automatik untuk menyetai Piala Super ICFL yang akan disertai sebanyak 32 pasukan dari seluruh negeri.

“Karnival ini sebagai persediaan untuk penganjuran Piala Super ICFL, pemain-pemain juga saya lihat begitu teruja kerana mereka sudah lama tidak terdedah kepada suasana pertandingan ekoran pandemik Covid-19,” katanya.

Katanya lagi, pembaharuan pada Piala Super ICFL pada tahun hadapan pihaknya akan menganjurkan dua kategori iaitu bawah 15 dan 17 tahun bagi memberi peluang kepada pemain muda menampilkan bakat mereka. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN