KUALA LUMPUR : Pelakon, Ammar Titan, 34, mendedahkan dia tidak kisah berhabis wang dan masa untuk berusaha mendapatkan bentuk badan yang sasa.
Menurut Ammar atau nama sebenarnya, Azizul Ammar Abu Hassan, dia berasa terinspirasi dengan beberapa orang pelakon yang dianggap sangat dedikasi dan komited apabila melakukan transformasi tubuh badan.
Katanya, bagaimanapun, baginya, apa yang lebih penting ialah aspek dedikasi aktor tersebut amat disiplin dalam menjaga dan mengekalkan kesihatan tubuh badan.
“Apa yang membuatkan saya rasa terinspirasi ialah apabila melihat aktor seperti Norman Hakim dan Shah Rukh Khan yang sangat disiplin menjaga tubuh badan walaupun usia mereka sudah mencecah 50 tahun.
“Nampak ‘fit’ dan tegap. Sudah tentu bukan untuk nampak tampan sahaja secara luaran. Saya paling kagum dengan pengorbanan mereka untuk melakukan semua itu, bukan senang. Bukan dalam masa yang singkat.
“Nak tubuh badan cantik, orang tak tahu segala usaha keras yang dilakukan di belakang tabir. Konsistensi itu yang penting. Itu yang saya sedang cuba nak raih selain menjaga kesihatan diri,”katanya.
Ammar berkata demikian semasa ditemui dalam sebuah majlis hiburan baru-baru ini di ibu kota.
Ia bagi mengulas bentuk tubuh badannya yang semakin kelihatan berbeza, sedikit berotot berbanding sebelum ini.
Selain itu, kata Ammar, dia juga tidak kisah untuk mengubah bentuk badannya mengikut kesesuaian watak sekiranya diminta.
“Orang kata saya pasang badan sekarang, ya, bolehlah dikatakan begitu. Mana tahu bukan kalau ada mana-mana produksi atau penerbit yang nak ambil saya berlakon menerusi kesesuaian watak.
“Tapi ini lebih kepada membina rasa keyakinan diri. Kalau ada yang suruh saya kuruskan badan, gemukkan badankah, saya sanggup buat asalkan berbaloi dengan watak yang diberikan.
“Begitu juga jika diminta untuk botak, saya akan buat. Lagipun setakat botak, rambut mestilah boleh tumbuh semula bukan.Gemuk boleh kurus, kurus pun boleh gemuk. Saya okey dan sanggup terima cabaran itu demi kerjaya lakonan,”katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai watak komedi yang sebelum ini pernah dibawakan olehnya, Ammar mengaku, kini lebih banyak membawakan watak yang lebih serius dan berunsur berat.
Bagaimanapun, pelakon filem Siapa Tutup Lampu ini melihat semua itu sebagai satu kepercayaan yang diberikan kepadanya dalam membawakan setiap tugasan yang diminta.
“Kalau boleh saya pun nak bawa yang lebih mencabar. Saya tahu, sebelum ini ada saja orang yang anggap komedi ini bagaikan tidak mencabar sedangkan, bagi saya, ia sangat mencabar dan bukan senang.
“Hebat macam mana seseorang itu, kalau tak boleh ‘throw’ tak akan menjadi. Kalau tak disambut, susah dan nampak hambar,”katanya.