[PARLIMEN] MOTAC bangunkan semula pakej berbasikal - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] MOTAC bangunkan semula pakej berbasikal

ORANG ramai beriadah pada hujung minggu yang dirakam di sekitar Bukit Tunku yang sering kali menjadi tumpuan para penggemar sukan berbasikal atau berjoging. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan bakal membangunkan pakej berbasikal di beberapa kawasan dalam negara bagi memudahkan rakyat terlibat dengan aktiviti sukan yang semakin popular itu.

Di Dewan Rakyat hari ini, Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian itu akan membangunkan semula majalah berbasikal yang lengkap dengan maklumat mengenai pakej yang bakal diperkenalkan.

“Seiring dengan trend aktiviti berbasikal yang semakin menarik minat dalam kalangan rakyat Malaysia, Tourism Malaysia akan menerbitkan edisi terbaru majalah berbasikal yang pernah diterbitkan sejak 2013. Sebelum ini, beberapa edisi majalah berbasikal berjudul Discover Malaysia by Bicycle pernah diterbitkan, yang turut membekalkan maklumat berhubung lebih kurang 100 pakej berbasikal di pelbagai destinasi di dalam negara.

“Edisi baharu buku panduan yang dirancang untuk diterbitkan pada tahun hadapan ini akan turut meliputi elemen aktiviti berbasikal yang lebih menarik dan mesra alam sekitar, selaras dengan konsep pelancongan mapan,” katanya.

Tambah Nancy, pakej berbasikal lain yang turut dirancang untuk dibangunkan adalah pakej berbasikal di Sematan dan Lundu di Sarawak, kawasan agropelancongan Sekinchan, Selangor dan juga meneroka potensi di sepanjang pesisir pantai di Terengganu.

“Aktiviti yang dirancang ini juga akan turut melibatkan pelancongan berasaskan komuniti atau Community Based Tourism (CBT) bagi membuka peluang yang lebih luas kepada lebih banyak pihak dalam rantaian pelancongan ini,” jelasnya.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta kementerian itu mengintegrasikan di antara minat orang ramai yang suka berekreasi dengan mendaki dan berkelah serta berbasikal di kawasan air terjun dan hutan yang telah digazetkan sebagai hutan simpan dalam masa yang sama memelihara alam sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN